KUANTAN 23 Mei – Pemimpin atau ahli yang berhasrat untuk bertanding jawatan tertinggi UMNO seharusnya mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan berkelayakan dalam usaha memperkukuhkan parti keramat orang Melayu itu.
![]() |
|
Mohd. Sharkar Shamsuddin
|
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin (gambar) berkata, beliau menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang sebulat suara bersetuju supaya semua jawatan di peringkat tertinggi dipertandingkan bagi memperkukuhkan lagi parti.
“Pada masa sama kita perlu memastikan orang yang benar-benar layak untuk menawarkan diri. UMNO sekarang dan Barisan Nasional (BN) bukan lagi kerajaan yang memerintah.
“Mereka yang hendak menawarkan diri bertanding mesti tahu apakah transformasi yang mahu dilakukan bagi menarik keyakinan rakyat untuk bersama kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mohd. Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, pihaknya menyokong usaha dilakukan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO.
“Saya akan terus bersama Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein untuk memulihkan kembali parti seterusnya terpulang kepada perwakilan masing-masing.
“Di Pahang kita memberi sokongan terhadap usaha tersebut dan tidak menghalang serta menghormati keputusan yang dibuat demi memperkukuhkan UMNO,” ujarnya.
Ketika diajukan soalan sama ada berhasrat untuk bertanding tiga jawatan tertinggi UMNO tersebut, beliau menjawab tidak dan hanya menyokong yang terbaik untuk parti.
“Saya tidak berhasrat untuk bertanding jawatan tertinggi itu,” katanya.











