KUALA LUMPUR 30 Mei – Pasaran saham Malaysia berdepan situasi terburuk di rantau ini, hampir menyamai kejadian pada Oktober 2008 apabila hampir kesemua kaunter mengalami penyusutan dengan kesan paling teruk menimpa syarikat-syarikat yang terlibat dalam projek Kereta api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Petang ini, indeks FBM KLCI ditutup pada 1,719 mata selepas menyusut 56.56 mata dengan hanya 149 kaunter naik dan 995 kaunter jatuh.
Dalam sesi dagangan tengah hari, indeks FBM KLCI susut 3.7 peratus dan hampir menyamai kejatuhan yang berlaku pukul 4.09 petang pada Oktober 2008 manakala indeks Malaysia yang mencatat rekod dagangan bulan lalu, susut lebih daripada sembilan peratus apabila peniaga membuat penyesuaian dengan suasana politik baharu.
Situasi itu diburukkan lagi apabila pelabur asing menarik diri daripada bursa tempatan, mengeluarkan wang mereka hampir setiap hari sepanjang bulan ini, satu situasi yang mana jualan secara besar-besaran yang tidak pernah berlaku sejak Oktober 2015.
Ini berikutan pengumuman kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membatalkan projek HSR, Isnin lalu dan terbaharu, projek laluan tiga MRT (MRT3) dalam mesyuarat Kabinet kali keduanya hari ini.
Paling ketara saham YTL Corporation Bhd. (YTL) terjejas begitu teruk apabila menyusut 6.4 peratus, paras terendah sejak Oktober 2008 yang dicatatkan 9.15 pagi. Selepas ditutup petang ini, saham syarikat tersebut susut sembilan sen kepada 93 sen sesaham.
Kaunter paling terjejas teruk, antaranya Gamuda menyusut 95 sen kepada RM3.18 sesaham manakala Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) susut 11.5 sen kepada 57 sen sesaham.
April lalu, MyHSR Corporation Sdn. Bhd. (MyHSR Corp.) mengumumkan dua konsortium berjaya memperoleh tender sebagai Rakan Kongsi Penyampaian Projek (PDP) bagi kerja-kerja awam untuk projek HSR.
Ia melibatkan konsortium MRCB-Gamuda yang akan membina jajaran bagi bahagian utara projek rel tersebut manakala satu lagi konsortium Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn. Bhd.- TH Properties Sdn. Bhd. (TH Properties) pula membangunkan jajaran di bahagian selatan.
TH Properties merupakan anak syarikat Lembaga Tabung Haji manakala Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn. Bhd. pula anak syarikat YTL.
Keputusan itu turut memberi tempias kepada pemaju hartanah, UEM Sunrise Berhad yang membangunkan projek Gerbang Nusajaya di Iskandar Puteri, Johor yang terletak berhampiran dengan satu daripada stesen HSR. Sahamnya menyusut 10.5 sen kepada 73 sen sesaham.
Bagi sektor perbankan pula, Malayan Banking Berhad (Maybank) tidak terkecuali apabila menyusut 43 sen kepada RM9.57 sesaham.
Projek HSR yang bernilai RM110 bilion itu antara projek mega inisiatif pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kerajaan dijangka membayar pampasan kira-kira RM500 juta berhubung pembatalan projek berkenaan.
Menurut CIMB Equities Research, memandangkan kerajaan baharu berhasrat untuk mengekang isu hutang awam yang mencecah RM1 trilion, terdapat kemungkinan beberapa projek akan dibatalkan termasuk HSR dan juga Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
“Kami mengekalkan underweight memandangkan sentimen negatif akan memberi kesan kepada sektor tersebut dalam tempoh 100 hari pembaharuan agenda PH.
“Bagi YTL pula, prospek untuk menjadi proksi dalam kontrak projek rel di Johor di bawah PH kemungkinan tidak menjadi dengan mengambil kira projek HSR dan landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru yang dilihat bukan menjadi keutamaan di bawah kerajaan baharu ,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidik Kumpulan Ambank, Dr. Anthony Dass berkata, keputusan kerajaan itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana komitmen kerajaan terhadap projek infrastruktur mega terutama yang melibatkan China.










