BARU masuk dua hari berpuasa tetapi akak cun tengok layu saja muka dan longlainya langkah kawan-kawan sepejabat akak cun terutamanya orang lelakilah.
Kalau tidak, masing-masing sesekejap menghembus asap mengalahkan naga di ruang merokok pejabat akak cun ini. Bila dah ramai berkumpul di situ, macam dah boleh panggil bomba. Asapnya dari jauh nampak berkepul-kepul. Merasalah juga duduk seperti di alam kayangan.
Dan waktu siang sepanjang bulan Ramadan ini, semacam satu keajaiban berlaku. Ini memang boleh disebut fenomena luar biasa. Semuanya boleh pula melekat di meja masing-masing. Kalau tidak, asyik hilang dan bila dicari mesti ditemui sedang sembang kuat di kantin.
Tapi bukan itu yang akak cun hendak cerita. Bukan pasal bahaya merokok, sebab orang lelaki jangan tak tahu, paru-paru mereka memang sudah cukup kuat.
Janganlah sembang pasal kesihatan atau statistik kematian akibat kuat merokok pada mereka. Jangan saja-saja hendak buang masa. Nak nasihat? Tak payahlah. Nanti mereka cakap tak merokok pun mati juga. Mereka ini tidak gentar langsung. Semuanya berjiwa kental.
Bukan juga akak cun nak cakap pasal asyik ke kantin. Biarlah. Kerja sudah siap takkan hendak mengadap komputer saja. Nanti mata cepat rabun. Bersangka baiklah.
Yang akak cun hendak cerita di sini pasal perangai segelintir orang lelaki di bulan puasa terutamanya yang bergelar suami. Ini bukan nak mengumpat di bulan Ramadan. Ini nak beri nasihat.
Ada suami yang seawal sahur lagi sudah pesan pada si isteri untuk memasak juadah itu dan ini untuk berbuka puasa terutamanya pada hari cuti.
Biasanya, kalau isteri bekerja, dia tak berani sangat hendak beri arahan masak, sebab takut isteri bising penat bekerja. Tetapi biasalah, orang lelaki bukan nak mengaku dia takut isteri.
Yang tak bagusnya, bila si isteri memasak pada waktu cuti, dia tak ‘turun padang’ walaupun sekejap. Dibiarkan saja isteri tunggang-langgang di dapur. Dia boleh pula, melepak tengok TV, tidur atau melayan telefon pintar tak habis-habis.
Bila anak menangis, si isteri juga yang jadi tukang settle, si suami dok tersengih-sengih main telefon. Entah apa yang suka sangat, tengok gambar makanan ke di Facebook atau dalam diam tengah sembang dengan perempuan lain?
Kalau ajak makan luar atau beli juadah di bazar Ramadan, kata membazir pula atau penat.
Dan ada juga suami yang malas pergi ke bazar Ramadan disuruhnya isteri yang ditemani anak-anaknya pergi, diminta beli macam-macam juadah. Macam dia seorang saja yang berpuasa. Yang teruknya, duit tak beri! Orang kata, kirim dengan air liur. Ini dicerita oleh kawan akak cun. Setiap kali Ramadan, cerita ini akak cun dah hafal.
Jadi, kalau mahu isteri memasak untuk berjimat cermat apa salahnya tolong isteri di dapur. Ingat awak seorang sahaja penat, si isteri tak tahu penat. Tak hilang pun macho seorang lelaki bila menyiang ikan di dapur.
Akak cun pun lebih suka memasak pada bulan puasa. Akak cun kurang sangat pergi ke bazar Ramadan. Kali terakhir pergi pada bulan puasa dua atau tiga tahun lalu.
Itu pun akak cun masih ingat masa berjalan meredah lautan manusia di bazar Ramadan berhampiran Stadium Shah Alam, Selangor ada pasangan ini, suami isteri agaknya, meninggi suara masa membeli makanan.
Si isteri hendak beli juadah itu lebih, tetapi si suami memarahinya di khalayak ramai. Ramai mata tertumpu pada pasangan itu termasuk akak cun. Bukan nak busy body, tapi dah bising-bising, siapa pun boleh dengar. Hairan betul, puasa pun hendak marah-marah, hal kecil pula tu.
Memanglah dalam bulan puasa ini, bila perut kosong ada orang akan rasa cepat marah tetapi berpuasa sepatutnya mengajar kita menjadi orang yang lebih bersabar.
Kalau yang tiba-tiba mengamuk atau marah-marah sebab lapar itu adalah orang lelaki, tentulah nampak janggal dan agak kelakar.
Selalunya orang lelakilah yang disebut-sebut lebih sabar, cool dan tabah daripada orang perempuan. Maka, bertabahlah.
Dan puasa juga bukan bulan untuk rileks atau mengurangkan kerja. Baik di rumah atau di pejabat. Bukan awak seorang sahaja yang berpuasa.
Kalau ada yang beri alasan tak boleh kerja atau kerja lebih sebab puasa, bersedialah tadah telinga, akak cun nak membebel ni. Akak cun bab-bab membebel, ada je tenaga walaupun puasa.










