HAWAII 18 Mei – Letusan kuat gunung berapi Kilauea telah menghamburkan debu setinggi 9,100 meter ke udara.
Lapor BBC, letusan tersebut berlaku pada 4.15 pagi waktu tempatan dan penyelidik memaklumkan lebih banyak letusan yang sama akan berlaku pada bila-bila masa dalam waktu terdekat.
Berikutan kejadian terbaharu, kakitangan di pusat pemerhati dan taman negara telah dipindahkan.
Sejak berlaku rekahan baharu selepas Kilauea meletus hampir dua minggu lalu, berpuluh-puluh rumah musnah dan ratusan penduduk terpaksa berpindah.
Tanda amaran penerbangan warna merah telah dikeluarkan untuk mengingatkan juruterbang supaya menghindari kawasan awan berdebu akibat letusan itu.
Ahli Geologi Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), Michelle Coombs berkata, letusan kuat Kilauea menjadikan kawah lawa semakin merendah.
“Ini meningkatkan risiko ledakan bertenaga stim kerana magma bertemu dengan aliran air bawah tanah.
“Kita mungkin akan menyaksikan letusan yang jauh lebih besar dan kuat,” katanya.
Agensi Pengurusan kecemasan Hawaii menasihati para penduduk di kawasan yang terjejas dengan debu gunung berapi supaya berada di dalam rumah masing-masing.
Kilauea adalah salah satu daripada lima gunung berapi aktif di pulau Hawaii dan menjadi salah satu yang paling aktif di dunia yang meletus secara berterusan walaupun tidak meletup selama lebih dari 30 tahun.
Letupan terakhir berlaku pada 1924.










