KUALA LUMPUR 31 Mei – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon kerajaan memberi ruang dan modal yang cukup besar kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk terus memenuhi visi mereka dan bukannya menjarah dana syarikat minyak itu.
Katanya, misi menjarah dana atau ‘menyelamat’ pernah dilakukan ketika pentadbiran selama 22 tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat.
Najib berkata, beliau sendiri amat teliti dalam memastikan Petronas tidak perlu membayar dividen kepada kerajaan melangkaui keperluan bagi memastikan syarikat itu mempunyai imbangan tunai mencukupi untuk memenuhi pelan pengembangan dalam sektor perniagaan utama serta hiliran bagi menjadi sebuah syarikat tenaga berintegrasi bertaraf dunia.
Hasilnya, kata Najib, baki tunai Petronas telah meningkat secara signifikan dan syarikat itu berupaya membuat pelaburan serta berkembang untuk melaksanakan projek bersifat pengubah signifikan seperti projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang, Projek Integrasi Minyak dan Gas Sabah Sarawak (SSIOGP) dan projek Amonia dan Urea Sabah (Samur).
“Pada masa itu, Petronas turut diberi ruang kebebasan untuk membuat pelaburan dalam projek huluan yang besar di Malaysia dan di merata tempat di dunia seperti Kanada, Iraq dan Brunei.
“Pelaburan-pelaburan ini akan berupaya menghasilkan dividen yang tinggi bagi Petronas serta Malaysia untuk jangka masa panjang. Kita melabur untuk memastikan manfaat bagi jangka masa panjang,” katanya dalam laman Facebook, hari ini. UTUSAN ONLINE










