Berbuka puasa dengan konsep 80-an di Plaza Shah Alam - Utusan Malaysia

Berbuka puasa dengan konsep 80-an di Plaza Shah Alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Mei – Bulan Ramadan al-Kareem masuk minggu kedua. Pelbagai acara terutamanya berbuka puasa menjadi modal bagi setiap hotel dan pengusaha makanan untuk menarik orang ramai berbuka di luar.

Pelbagai pakej menarik ditawarkan dengan berjenis-jenis menu makanan disajikan semata-mata untuk menggamit orang ramai berbuka puasa sambil berbelanja.

Plaza Shah Alam tidak ingin ketinggalan dengan acara tradisi mereka yang diadakan setiap tahun di mana sepanjang bulan Ramadan, pusat membeli belah ini yang juga menjadi tumpuan masyarakat yang tinggal sekitar Shah Alam, Selangor, ditawarkan dengan acara berbuka puasa, berhibur dengan artis tempatan sambil membeli persiapan kelengkapan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dengan berkonsepkan nostalgia, Rumah Bonda dengan sulaman kata gamit, Kasih Bertaut di Aidilfitri, Plaza Shah Alam telah menyusun atur program bermula pada Sabtu ini, 26 Mei sehingga 10 Jun, Ahad nanti.

Pada Sabtu ini, penyanyi Datuk Nash akan mengadakan persembahan pada sebelah malam, selepas berbuka puasa. Pun begitu, pada sebelah petang, akan diadakan pertunjukan fesyen koleksi House Of Blouse by Najmar.

Pada 27 Mei pula, bermula pada pukul 11 pagi sehingga malam, pelbagai acara akan diadakan termasuk pertunjukan fesyen MSU, pertandingan mewarna, pemberian bubur lambuk secara percuma serta persembahan Ernie Zakri pada kira-kira pukul 8.45 malam.

Acara bersambung pada 31 Mei dengan majlis berbuka puasa bersama-sama dengan anak-anak yatim dan asnaf dari Madrasah Ulumul Quran Walahadith. Majlis ini akan dimeriahkan dengan kehadiran pelawak, Achey.

Pada 2 Jun pula, Plaza Shah Alam merangka program memasak, persembahan ghazal Anjung Tradisi, pemberian bubur lambuk percuma bersama Kelab Kucing Malaysia dan pada sebelah malam, selepas waktu Isyak, penyanyi Lah Ahmad akan muncul mengadakan persembahan.

Manakala pada 3 Jun, ahad, pertandingan Adikku Cantik, persembahan ghazal, pemberian bubur lambuk dan persembahan dari kumpulan Floor 88 akan mengambil tempat untuk menghidupkan Plaza Shah Alam ini.

Hujung minggu terakhir sebelum Ramadan meninggalkan kita, pada 9 Jun, akan diadakan acara resipi bonda bersama Ikon Wanita Melayu 2018, Tinie Aziz. Pada hari yang sama juga, akan diadakan persembahan dan pada sebelah malam, Arif Bahran dan Aman Aziz akan muncul.

Penutup kepada program yang diatur oleh Plaza Shah Alam sempena Ramadan kali ini, pada 10 Jun, Ahad, diadakan suara raya karaoke, pemberian bubur lambuk secara percuma dan sebelah malam, persembahan Asad Motawh dan Naim Daniel.

Orang ramai boleh berkunjung ke Plaza Shah Alam untuk mengalami sendiri majlis dan program yang telah diatur oleh pihak pengurusan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN