KUALA LUMPUR 31 Mei – Pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Lan Solo, 33, memberitahu bahawa anak bongsunya, Baby Xandra selamat menjalani pembedahan bagi merawat masalah bibir sumbing yang dihidapinya sejak lahir.
Mengambil masa selama kira-kira tiga jam, Lan atau Mohd. Razlan Mohamed Yusof berkata, proses pembedahan anak keempatnya itu dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bermula 9.30 pagi tadi.
“Alhamdulillah, proses pembedahan berjaya dilakukan dengan lancar dan Baby Xandra sudah dibawa keluar dari bilik bedah pukul 11.40 pagi tadi lalu ditempatkan di wad biasa.
“Doktor ambil masa hampir dua jam untuk selesaikan pembedahan itu sebelum bayi dianggarkan akan sedar sejam selepas itu.
“Sekarang ini, walau belum sedar, dia dilaporkan stabil,” jelas Lan menerusi pesanan teks dihantar menggunakan WhatsApp.
Isteri bekas vokalis kumpulan Kristal itu, Nur Sheila Hassim, 32, melahirkan Baby Xandra atau Nur Amna Quxandra pada 24 Februari lalu di Pusat Perubatan Rampai Puteri, di sini.
Selain Baby Xandra, pasangan yang disatukan sebagai suami isteri pada 6 Disember 2009 dan telah pun dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4, dan Muhammad Akid Qassyaff, 3. – UTUSAN ONLINE










