BELUM reda isu pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, Muhammad Fazrul Azrie Mohdad disahkan positif ujian doping awal bulan ini, tiga lagi badang negara berdepan nasib sama.
Pemangku Setiausaha Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Abu Hanapah Ismail berkata, mereka dikesan menggunakan bahan terlarang jenis stanozolol hasil ujian yang dilakukan secara mengejut oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) pada 28 Mac lepas ketika atlet negara menjalani latihan sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Komanwel lalu.
Walaupun enggan mendedahkan nama mereka, laman rasmi IWF, Selalu lalu mendedahkan, tiga atlet kebangsaan dikesan menggunakan bahan terlarang iaitu Muhamad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd. Nordin dan Ronny Jesos.
“Kita sudah maklumkan kepada ketiga-tiga atlet berkenaan dan mereka telah digantung sementara. Pada masa sama mereka juga mahu membuka ujian sampel B.
“Ujian sampel B telah dilakukan di Jerman bermula kelmarin. Keputusan akan mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari,” katanya pada sidang akhbar khas di pejabat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC), Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.











