PUTRAJAYA 19 Mei – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan beliau akan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor sekiranya mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurut Mohamed Azmin, beliau akan menghadap baginda dalam masa terdekat bagi membincangkan tugas baharu di peringkat Persekutuan seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Sehingga hari ini saya masih lagi memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor namun, sekiranya keputusan dibuat untuk saya membantu kerajaan Persekutuan saya akan lepas jawatan berkenaan.
“Kedudukan saya selaku Menteri Besar akan diumumkan secara rasmi selepas menghadap Sultan Selangor. Proses ini perlu berlangsung dalam keadaan baik, teratur dan tertib kerana melibatkan mandat rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini bagi membincangkan peranannya selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, pertemuan itu dibuat bagi membolehkan beliau mendapat gambaran lebih jelas berhubung peranannya.
“Saya datang untuk mendapatkan penjelasan tentang peranan yang akan dimainkan di kementerian baharu. Dr. Mahathir telah jelaskan dan saya perlu meneliti semula perkara ini dan beliau meminta saya kembali untuk memberikan cadangan tambahan.
“Ini kementerian baharu dan pastinya ada cabaran besar dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk tampil dengan polisi dan strategi baharu. Saya juga memerlukan pasukan yang kuat untuk memacu kementerian ini,” katanya.
Menjawab soalan mengenai projek mega yang diluluskan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohamed Azmin berkata, perkara itu akan dibincangkan selepas beliau memasuki pejabat minggu depan.
“Semua projek mega serta infrastruktur yang diluluskan semasa pentadbiran Najib akan dikaji semula. Kita mahu memberi keutamaan kepada projek yang memberi manfaat kepada rakyat seperti bekalan elektrik, air dan perumahan.
“Ini sangat penting, kita ada pengamalan dasar yang baik ketika mentadbir Selangor. Dasar ini akan diperluaskan di peringkat Persekutuan kerana kejayaan Selangor diiktiraf dan menjadi asas untuk memajukan negeri lain,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai projek mega yang telah dipersetujui dan ditandatangani, Mohamed Azmin berkata, perkara itu boleh dibincangkan semula termasuk meneliti terma perjanjian sama ada dibuat secara telus atau sebaliknya.











