KANGAR 23 Mei – Kemelut pelantikan menteri besar yang telah memasuki tempoh dua minggu sejak 9 Mei lalu berakhir apabila jawatan nombor satu negeri itu akan dimuktamadkan di Istana Arau dekat sini, esok.
![]() |
|
AZLAN MAN
|
Majlis istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan berkenaan bagi penggal yang baharu akan dilaksanakan di Balai Menghadap istana tersebut pada pukul 10 pagi.
Perkara itu dinyatakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis menerusi satu surat jemputan kepada pihak media, hari ini.
Semalam, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyembah menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dipercayai untuk menyelesaikan isu pelantikan menteri besar di Istana Arau.
Turut mengiringi Ahmad Zahid ialah Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid yang ditemui wartawan di luar istana enggan mengulas hasil pertemuan tersebut. Bagaimanapun difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong, Datuk Seri Azlan Man dijangka kekal sebagai Menteri Besar Perlis.
Kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis seakan-akan menyamai situasi serupa pada 2008 yang mengambil masa selama dua minggu sebelum kerusi nombor satu negeri itu dimuktamadkan.
Sehingga hari ini, Perlis menjadi satu-satunya negeri yang masih belum membentuk kerajaan negeri.
Persoalan timbul kerana Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sebelum ini, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menamakan adiknya, Datuk Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang sebagai calon menteri besar yang baharu.
Difahamkan, walau bagaimanapun perkara itu tidak diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin menyebabkan isu berkenaan berlarutan sehingga kini.











