AS harap Korea Utara jadi rakan rapat - Utusan Malaysia

AS harap Korea Utara jadi rakan rapat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 12 Mei – Amerika Syarikat (AS) melahirkan harapan agar Korea Utara akan menjadi ‘rakan rapat’ dan bukannya musuh, kata Setiausaha Negara, Mike Pompeo sambil menyatakan bahawa AS dalam sejarah se­ring menjadi rakan baik dengan bekas musuhnya.

Menurut Pompeo, beliau memberitahu pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengenai harapan tersebut ketika lawatan singkat ke Pyongyang awal minggu ini, sewaktu beliau memutuskan butiran 12 Jun sidang kemuncak antara Jong-un dan Presiden Donald Trump selain membebaskan tiga tahanan warga Amerika di negara itu.

Beliau memaklumkan bahawa rundingan bersama Jong-un diadakan dengan ‘mesra’, ‘konstruktif’ dan ‘baik’ selain menjelaskan jika Korea Utara membatalkan pembangunan senjata nuklear secara tetap dan pasti, kerajaan AS bersedia membantu melonjakkan ekonomi negara berkenaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat sama seperti kemakmuran Korea Selatan.

“Kami berbual dengan baik mengenai sejarah kedua-dua negara selain cabaran yang perlu kami hadapi. Kami bercakap mengenai fakta bahawa AS dalam sejarah sering mempunyai musuh yang kini telah menjadi rakan rapat dan harapan kami supaya perkara yang sama boleh dicapai dengan Korea Utara,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan nama musuh yang lain tetapi Pompeo dan umum mengetahui bahawa AS memainkan peranan utama dalam pembangunan semula Jepun dan kuasa paksi Eropah selepas Perang Dunia Kedua.

Dengan bantuan AS, kesemua negara tersebut berjaya pulih daripada konflik kemusnahan.

“Jika Korea Utara mengambil tindakan berani membatalkan pembangunan nuklear secara drastik, AS bersedia untuk bekerjasama untuk mencapai kemakmuran setanding rakan Korea Selatan kita,” katanya.

Kyung-wha memuji rundingan antara Trump dan Jong-un yang akan datang di Singapura sebagai peluang bersejarah tetapi turut menambah beberapa keraguan yang mungkin berlaku. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×