Anwar menghadap Sultan Selangor di Istana Kayangan - Utusan Malaysia

Anwar menghadap Sultan Selangor di Istana Kayangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menerima menghadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Umum Parti Keadian Rakyat (PKR) itu tiba di istana berkenaan kira-kira pukul 10 pagi.

Pertemuan hampir sejam setengah itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam pada itu, Anwar ketika ditemui sejurus selesai mengadakan pertemuan itu berkata, antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai calon Menteri Besar Selangor yang akan menggantikan Mohamed Azmin.

“Kita ada bincang soal itu (calon Menteri Besar) dan ia hampir selesai. Senarai calon terlalu ramai, berpuluh orang.

“Kita buka senarai calon ini kepada semua parti, tetapi dalam soal ini Menteri Besar mestilah daripada parti yang mempunyai majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dalam kes ini adalah PKR,”katanya ketika ditemui di luar pekarangan Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya calon yang bakal menggantikan Mohamed Azmin, Anwar berkata perkara tersebut belum diputuskan.

“Sesiapa sahaja berkelayakan boleh menggantikan dia (Mohamed Azmin), kita belum putuskan lagi,”ujarnya.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan untuk Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu diadakan selepas Aidilfitri iaitu pada Selasa, 19 Jun ini.

Setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Muhammad Munir Bani berkata, istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan berkenaan akan diadakan di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.

Sehubungan dengan istiadat pelantikan yang bakal berlangsung ini, Mohamed Azmin akan turut melepaskan jawatan sebagai Menteti Besar Selangor pada tarikh yang sama iaitu 19 Jun ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, parti yang bertanding dibawah logo PKR memenangi 51 kerusi DUN di Selangor, Barisan Nasional (BN) empat, dan Pas satu kerusi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN