SHAH ALAM 18 Mei – Seorang anggota polis maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pokok sebelum terbakar dalam kejadian di persiaran masjid di Seksyen 9 di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa Djamaluddin Nizam, 46, maut di tempat kejadian.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu kira-kira pukul 3.25 pagi.
“Seramai 11 anggota termasuk tiga daripada Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian dan setibanya dilokasi didapati bahagian depan kereta mangsa jenis Proton Exora itu terbakar.
“Ketika pemadaman dilakukan, terdapat seorang lelaki dan selepas api padam sepenuhnya, anggota EMRS mendapati mangsa telah maut,” katanya di sini hari ini.
Alimaddia memberitahu, mangsa kemudiannya dikeluarkan selepas mendapat kebenaran pihak polis dan dihantar ke Hospotal Shah Alam untuk bedah siasat.
Menurut sumber, mangsa ialah anggota polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. – UTUSAN ONLINE










