Amalan ‘YB katak’ perbuatan keji, mengkhianati pengundi - Utusan Malaysia

Amalan ‘YB katak’ perbuatan keji, mengkhianati pengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMERHATIKAN perkembangan peringkat negeri dan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya sedih melihat masih ada amalan ‘lompat katak’ dalam kalangan wakil rakyat dipilih pengundi.

Apa jua alasan, seorang wakil rakyat perlu ada integriti untuk kekal menyokong dan berdiri teguh dengan kem yang mereka wakili sebelum PRU-14, janganlah menjadi lalang semata-mata demi wang dan kuasa.

Apa yang berlaku di Kedah, Perak, Johor dan Sabah sungguh memalukan. Seperti dilaporkan Malaysiakini, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bersih juga mengecam perbuatan lompat parti ini kerana tidak menggambarkan demokrasi sebenar.

Golongan ini bukan sahaja mengkhianati pengundi mereka malah memijak kedaulatan negara dengan menggambarkan status Yang Berhormat boleh dibeli mana-mana pihak yang mempunyai kuasa dan duit.

Saya harap Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat mengubah amalan ‘lompat katak’ ini melalui ketetapan perundangan yang menghalang mana-mana wakil rakyat mengkhianati kepercayaan diberikan pengundi kepada mereka.

Rakyat tanpa mengira ideologi menyokong kenyataan Perdana Menteri menolak mereka yang lompat parti daripada menyertai dan mempengaruhi pentadbiran kerajaan baharu.

Kepada ‘YB katak’, ingatlah bahawa anda tidak akan diberi kepercayaan lagi menjadi calon oleh mana-mana pihak selepas ini kerana pengundi tidak akan beri peluang kedua kepada ‘pengkhianat’.

SITI KAMILA

Teluk Intan, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN