KUALA LUMPUR 18 Mei – Ahli-ahli UMNO tidak seharusnya mengambil kesempatan dengan mencongak peluang masing-masing untuk mendapatkan jawatan dalam parti sehingga boleh menjurus kepada pertelagahan, sedangkan keadaan parti yang masih belum menentu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, UMNO wajib diselamatkan terlebih dahulu dan setiap ahli perlu bergandingan menyelamatkan parti yang sedang mengharungi detik-detik sukar.
Katanya, beliau memahami perasaan ahli dan penyokong UMNO kerana buat pertama kalinya tidak menjadi parti pemerintah, namun mahu setiap daripada mereka segera menyesuaikan diri dengan situasi semasa dan tidak berpecah-belah.
“Paling utama dalam keadaan begini, jangan sesekali kita bertelagah untuk menjadi atau mencari pemimpin.
“Rakyat akan bosan atau meluat kalau melihat kita masih bertelagah. Perkara paling utama kita selamatkan UMNO terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menyokong gesaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu parti Melayu tersebut mengambil iktibar dan kembali menyusun strategi untuk dibina semula setelah ‘runtuh’ akibat kekalahan kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sempena bermulanya mesyuarat parti peringkat cawangan minggu ini, Shamsul Anuar mengharapkan setiap ahli memanfaatkan perjumpaan itu untuk memperkukuhkan UMNO terutama untuk memulihkan keyakinan rakyat.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat meminta setiap ahli parti tidak patah semangat atau lari daripada UMNO yang telah lebih 60 tahun memperjuangkan nasib Melayu di negara ini.
Katanya, jika setiap ahli menaruh komitmen yang tinggi dan bersatu-padu, beliau yakin UMNO tidak mudah ‘dimatikan’ oleh lawan walaupun sebagai pembangkang.











