MELAKA 11 Mei – Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11 di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob sebentar tadi.
Adly, 47, yang merupakan Pengerusi PAN negeri memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Yunus Hitam dan calon Pas, Muhamat Puhat Bedol dengan majoriti 3,159 undi.
Majlis angkat sumpah itu berlangsung di Dewan Seri Utama di pejabat rasmi Yang Dipertua Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini pada pukul 4 petang, dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim.
Yang turut hadir, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan negeri iaitu Naib Presiden PKR yang juga Pengerusi PKR negeri, Shamsul Iskandar Mohd. Akin; Timbalan Ketua PPBM Melaka, Mohd. Rafiq Naizamohideen; Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Norhizam Hassan Baktee dan Ketua Wanita PKR negeri, Ginie Lim Siew Lin.
Adly yang merupakan anak kelahiran Kampung Pulau, Durian Tunggal ialah seorang ahli perniagaan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Beliau yang pernah menjadi jurutera di Universiti Multimedia pada tahun 1997 hingga 2000 merupakan ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional PAN sejak 2015 sehingga sekarang.
Pakatan Harapan Melaka berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 15 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pda PRU-14.
BN yang sebelum ini memerintah kerajaan negeri hanya memenangi 13 kerusi DUN manakala Pas gagal meraih sebarang kemenangan. – UTUSAN ONLINE










