24 wartawan tiba di Korea Utara - Utusan Malaysia

24 wartawan tiba di Korea Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING – Kira-kira 24 wartawan daripada organisasi berita Barat dan China tiba di Korea Utara semalam untuk menyaksikan penutupan tapak ujian nuklear Pyongyang, petunjuk bahawa penutupan itu tetap diteruskan di sebalik situasi diplomatik kini tidak menentu.

Wartawan daripada agensi berita Associated Press (AP), CNN, CBS, Russia Today dan media pemerintah China adalah antara yang mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing untuk menaiki penerbangan Air Koryo ke Korea Utara.

Badan penyiaran pemerintah China, CCTV berkata, kumpulan pemberita itu telah tiba di lapangan terbang di bandar Wonsan, pantai timur Korea Utara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beberapa pertubuhan berita lain termasuk Reuters juga mengemukakan permohonan untuk membuat liputan mengenai penutupan tapak ujian nuklear Korea Utara tetapi permohonan itu ditolak.

Korea Selatan pula menyuarakan kekecewaan kerana pemberitanya tidak termasuk dalam kumpulan tersebut walaupun menerima jemputan lebih awal.

Korea Utara menjemput segelintir petugas media untuk menyaksikan pemusnahan tapak ujian nuklear Punggye-ri pada minggu ini dan bukannya pasukan pakar teknikal walaupun Amerika Syarikat (AS) menggesa penutupan itu adalah kekal dan boleh diperiksa.

Tawaran Korea Utara untuk memusnahkan tapak ujian nuklear itu dilihat sebagai kompromi penting untuk melegakan ketegangan antara Pyongyang dan musuh lamanya, Korea Selatan serta AS.

Bagaimanapun, hubungan diplomatik semakin baik itu kembali berliku selepas Korea Utara mengancam untuk menarik diri daripada sidang kemuncak antara pemimpinnya, Kim Jong-un dan Presiden AS, Donald Trump di Singapura yang dijadualkan pada 12 Jun depan. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN