ALOR SETAR 23 Mei – Jabatan Kesihatan negeri mengeluarkan 15 notis kompaun kepada pengendali makanan di negeri ini atas kesalahan penyediaan makanan tanpa suntikan antitifoid serta tahap kebersihan yang tidak memuaskan ketika menjalankan perniagaan dalam bulan Ramadan ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, setakat ini, sebanyak 886 gerai makanan di 96 bazar Ramadan diperiksa dan daripada jumlah itu, tiga premis telah dikompaun di Kulim, Yan (satu), Padang Terap (lima) dan Kubang Pasu (enam).
“Sebanyak 15 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai apron, gagal mengekalkan serta tidak mementingkan kebersihan dan suntikan tifoid.
“Jumlah kompaun yang dikenakan adalah bergantung pada kesalahan yang dilakukan antara RM100, RM200 dan RM250,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pemeriksaan di Bazar Ramadan Taman Nuri, di sini semalam.
Operasi disertai 65 pegawai Kementerian Kesihatan Kedah, Pejabat Kesihatan Kota Setar dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Menurutnya, operasi itu bertujuan bukan sahaja untuk melihat aspek kebersihan dan premis makanan, malah memberi penekanan aspek kesedaran serta pendidikan dengan mengedarkan risalah kepada orang ramai yang membeli makanan di bazar Ramadan.
“Operasi ini bertujuan memberi pendidikan kepada pengguna supaya ‘perhati dan pilih’ gerai bersih dan tiada sampah sarap di sekitarnya.
“Selain itu, pengguna dapat membezakan pengendali makanan yang mementingkan kebersihan dan tidak hiraukan etika perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar mempraktikkan prinsip ‘lihat, hidu dan rasa’ terlebih dahulu sebelum makan untuk mengelakkan keracunan makanan.










