128 juta perlu bantuan kemanusiaan segera - Utusan Malaysia

128 juta perlu bantuan kemanusiaan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK 23 Mei – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres hari ini berkata bahawa lebih 128 juta individu memerlukan bantuan kemanusiaan segera dan angka yang mengejutkan ini didorong oleh konflik, lapor agensi berita Xinhua.

“Tahun lalu, PBB merekodkan kematian dan kecederaan lebih 26,000 orang awam di enam buah negara terjejas akibat konflik seperti Afghanistan, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Iraq, Somalia dan Yemen.

“Seramai 10 ribu daripada mereka berada di Afghanistan,” kata beliau dalam satu kenya­taan kepada Majlis Keselamatan PBB yang bersidang bagi menangani isu perlindungan orang awam dalam konflik bersenjata.

Guterres berkata, orang awam di zon konflik terdedah kepada perlanggaran hak asasi manusia yang dahsyat termasuk rogol dan keganasan seksual yang lain.

Memetik laporan Bernama, satu contoh yang baik ialah Republik Demokratik Congo di mana PBB mendokumenkan lebih 800 kes keganasan seksual berkaitan konflik pada tahun lepas, meningkat sebanyak 56 peratus berbanding 2016.

Konflik terus memaksa jutaan penduduk melarikan diri dari rumah masing-masing kerana masa depan yang tidak menentu.

Sebanyak 65.6 juta orang terjejas disebabkan perang, keganasan dan penganiayaan pada akhir 2016.

Guterres menambah, pengeboman dan serangan ke atas pekan dan bandar telah membunuh dan mencederakan puluhan ribu orang awam setiap tahun.

Di Syria, serangan membunuh dan mencederakan sejumlah besar orang di Aleppo, Dayr al-Zawr, Homs, Idlib, Raqqah dan Rif Damsyik selain turut memusnahkan infrastruktur, sekolah dan hospital.

Menurut Guterres, serangan sering menyasarkan kemudahan perubatan, kemanusiaan dan pekerja perubatan.

Pada 2017, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan sebanyak 322 serangan yang mengakibatkan 242 kematian dalam kalangan pegawai kesihatan dan pesakit.

Ketua PBB itu turut menyatakan bahawa 10 daripada 13 krisis makanan utama pada 2017 berpunca daripada konflik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN