JERANTUT 23 Mei – Sebanyak 120 premis perniagaan makanan di negeri ini diarah tutup pada tahun lepas ekoran gagal menepati tahap kebersihan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, arahan penutupan itu selepas pemilik premis perniagaan terlibat didapati gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Kita menjalankan pemeriksaan di 12,754 premis makanan seluruh negeri ini sepanjang tahun lepas dan 1,308 kompaun dikeluarkan kepada peniaga terlibat,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri di Dataran Majlis Daerah Jerantut (MDJ), di sini semalam.
Yang turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Rafidah Abdul Latif dan Kadi Daerah, Syarifuddin Mohamad Sa’ad.
Sha’ari berkata, pemantauan terhadap premis makanan semakin giat dijalankan terutama di bazar Ramadan bagi memastikan makanan dijual tidak mendatangkan mudarat kepada orang ramai.
“Kita mempunyai 85 lokaliti bazar Ramadan pada tahun ini. Pegawai dan kakitangan Jabatan Kesihatan sentiasa membuat pemantauan, namun belum ada peniaga dikenakan apa-apa tindakan setakat ini,” katanya.
Menurutnya, peniaga di bazar Ramadan perlu menitikberatkan kualiti makanan dan bukannya hanya mengejar keuntungan semata-mata.
“Bazar Ramadan MDJ ini boleh dijadikan contoh kerana kawasannya bersih dan susun atur makanan dijual juga memudahkan orang ramai membeli juadah untuk berbuka puasa,” katanya.










