KUALA PILAH – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada satu istiadat di Istana Seri Menanti di sini semalam.
Istiadat tersebut berlangsung di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
ADUN DAP yang mengangkat sumpah ialah Teo Kok Seong (Bahau), S. Veerapan (Repah), J. Arul Kumar (Nilai), Nicole Tan (Bukit Kepayang) dan Choo Ken Hwa (Lukut).
ADUN PKR pula terdiri daripada Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek (Ampangan), Ismail Ahmad (Labu) dan Mohamad Nazaruddin Sabtu (Pilah) manakala dua ADUN dari Parti Amanah Negara (Amanah) ialah Bakri Sawir (Klawang) dan Mohamad Taufek Abd. Ghani (Paroi).
Berkenaan hadir mengiringi baginda pada istiadat itu ialah Tuanku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua anakanda baginda, Tunku Ali Redhauddin serta Tunku Zain Al’Abidin.










