Zii Jia teruja jadi perseorangan pertama - Utusan Malaysia

Zii Jia teruja jadi perseorangan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 7 Feb. – Lee Zii Jia mengakui teruja kerana diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran selaku perseorangan pertama negara dan menyumbang mata pertama dalam aksi Kumpulan C menentang Myanmar di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini sebentar tadi.


Dalam aksi tersebut, pemain berusia 20 tahun itu meraih kemenangan 21-3, 21-10 ke atas Phone Pyae Naing dalam aksi yang memakan masa 20 minit.

Bagaimanapun dia menyifatkan kemenangan hari ini sebagai pemanas badan buat dirinya kerana paling penting ialah pertemuan terakhir peringkat kumpulan menentang Taiwan, esok bagi menentukan sama ada Malaysia layak atau tidak ke peringkat suku akhir.

Berdasarkan kepada kedudukan ranking semasa, Zii Jia berkemungkinan akan berdepan cabaran Hsu Jen Hao dalam aksi perseorangan kedua.


“Pertama sekali memang saya gembira kerana dapat bermain selaku perseorangan pertama tetapi perlawanan hari ini tidak begitu penting kerana saya sudah mula terfikir untuk pertemuan esok menentang Taiwan.


“Saya akan bertemu dengan Jen Hao, memang perlawanan itu akan menjadi sengit dan kali terakhir saya bertemu dengannya ialah di Terbuka New Zealand, tahun lalu dan saya kalah dalam aksi set penentuan.


“Saya tidak mahu terlalu banyak berfikir kerana peluang itu tetap ada dan selepas meraih dua kemenangan, saya memang berkeyakinan untuk pertemuan esok,” katanya ketika ditemui selepas tamat permainan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN