ALOR SETAR – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal dinaikinya dirempuh sebuah kereta di Jalan Padang Perahu-Jitra, Kodiang dekat sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa, Mansor Saad, 73, membonceng motosikal ditunggang rakannya, Ramlan Abu Bakar, 57.
Mansor yang mengalami kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Jitra manakala penunggang motosikal masih dirawat di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Comel Manja 125 dinaiki kedua-dua mangsa melintas secara mengejut di hadapan sebuah kereta jenis Ford Laser dari arah sama untuk membuat pusingan U.
“Pemandu kereta cuba membrek untuk mengelak daripada merempuh belakang motosikal tersebut tetapi gagal kerana jarak yang dekat.
“Akibat rempuhan itu, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – K! ONLINE










