SETIU 12 Feb. – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenaan merasmikan laluan santai Setiu (boardwalk Setiu) di pengkalan Gelap di sini, simbolik kepada permulaan langkahan ke dalam khazanah alam di Taman Negeri itu.
Baginda menyifatkan kawasan berkenaan adalah antara ekosistem yang amat bernilai dengan pelbagai manfaat bukan sahaja kepada penduduk setempat tetapi juga kepada negeri dalam mengetengahkan produk ekopelancongan.
“Pelancaran boardwalk ini adalah mukadimah kepada memperkenalkan khazanah alam kita bukan sahaja kepada pelancong tetapi sebagai pembuka minda masyarakat tentang pentingnya memulihara kelestarian biodiversiti kehidupan yang merupakan habitat semulajadi flora dan fauna,”titah baginda.
Menurut baginda, pewartaan sebahagian daripada 32,000 hektar tanah bencah ini amat bertepatan pada masanya yang diharap dapat memberi impak besar kepada masa depannya dan penduduk setempat.
“Tanah bencah kita adalah masa depan kita,” titah baginda ketika menyempurnakan perasmian.
Terdahulu keberangkatan baginda ke kawasan itu disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Datuk Prof. Emeritus Dr.Makhdzir Mardan dan Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan.
Juga Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mohktar dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin(Unisza), Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif;
Sultan Mizan turut berkenan menanam pokok dan meninjau laluan santai sepanjang 550 meter yang menyusuri hutan paya bakau itu di samping melancarkan buku ‘Birds of Terengganu.’
Tanah Bencah Setiu mempunyai pelbagai ciri semulajadi yang melibatkan ekosistem marin, air tawar dan air payau serta sembilan habitat yang saling berhubungan seperti laut, pantai selut, lagun, muara, sungai, pulau, pantai dan hutan bakau.
Ini menjadikan Tanah Bencah Setiu sangat unik dan istimewa kerana memiliki sumber biodiversiti yang tinggi dengan populasi spesies yang pelbagai termasuk tuntung laut yang sangat terancam di dunia, selain menjadi kawasan persinggahan burung-burung migrasi dari utara dunia seperti Siberia dan China semasa peralihan musim sejuk.
Pewartaan kawasan seluas 432 hektar daripada 23,000 hektar kawasan Tanah Bencah Setiu sebagai Taman Negeri bakal menyokong kepada pemuliharaan biodiversiti dan kelestarian khazanah alam yang tidak ternilai ini.-UTUSAN ONLINE
Video oleh AZLAN BAHRUM










