KUALA LUMPUR 11 Feb. – Tindakan beberapa pihak yang cuba membuat spekulasi dengan mengaitkan nama Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil akan bertanding di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti disifatkan sebagai tidak masuk akal.
Beliau menggesa semua pihak supaya menghentikan khabar angin itu kerana keputusan meletakkan mana-mana calon bertanding pada PRU-14 nanti adalah keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelas beliau, Putrajaya ketika ini telah dipimpin oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan cukup baik, malah Setiausaha Agung UMNO itu turut mengambil berat keadaan masyarakat di peringkat akar umbi di sana.
“Gila ke? Hentikanlah spekulasi mengenai siapa jadi calon di kawasan mana, kerana tanggungjawab saya adalah untuk menentukan jentera wanita mantap,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke Pasarnita @ Gong Xi Fa Cai 2018 di Kepong, dekat sini hari ini. – UTUSAN ONLINE
Video oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF










