PUTRAJAYA 7 Feb. – Sebarang ancaman dan ugutan tidak melemahkan semangat anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melakukan tugas-tugas penguatkuasaan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, warga JPJ terutamanya unit penguat kuasa juga tidak gentar dan sentiasa komited dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan.
“Sebelum ini anggota dan pegawai JPJ sememangnya ada menerima ancaman dan ugutan, namun tidak berpanjangan dengan isu-isu lain sehingga menyebabkan keselamatan terancam.
“Jadi, setiap ancaman dan ugutan tidak sama sekali melunturkan semangat warga JPJ untuk menjalankan tugas,” katanya dalam sidang akbar selepas menunjukkan kaedah pemasangan pemantul cahaya MS 828:2011, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian tiga kenderaan milik JPJ dan dua kereta Volvo milik orang awam yang disita musnah terbakar di Stesen Penguat Kuasa JPJ Kuala Kangsar, Perak disyaki berpunca perbuatan khianat.
Kereta JPJ yang terbakar ialah dua Toyota Fortuner dan sebuah Ford Ranger, kejadian itu disyaki berpunca daripada perbuatan khianat selepas siasatan polis mendapati terdapat kesan pagar dipotong di bahagian tepi jalan kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai kes di Kuala Kangsar semalam, Shaharuddin berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan terperinci sama ada insiden itu berpunca daripada perbuatan khianat ataupun sebaliknya.
“Kita tiada rekod berapa banyak ugutan atau ancaman yang diterima oleh warga JPJ secara keseluruhannya, namun mungkin selepas ini kita akan melihat perkara ini secara lebih mendalam,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pemasangan pemantul cahaya, Shaharuddin berkata, tempoh enam bulan diberikan kepada kenderaan perdagangan untuk memasang pemantul cahaya sebelum penguatkuasaan dilaksanakan.
“JPJ hanya membenarkan penggunaan pemantul cahaya yang mematuhi piawaian MS 828:2011 yang disahkan SIRIM Berhad (SIRIM). Langkah ini diambil bagi mengurangkan kes kemalangan melibatkan kenderaan berat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, setiap pemandu kenderaan juga perlu membawa segi tiga keselamatan dan menggunakannya ketika kenderaan tidak dapat bergerak akibat kerosakan di mana-mana jalan raya.
“Untuk rekod, sepanjang tahun lalu sebanyak 1,713 kemalangan dicatatkan akibat langgar belakang melibatkan kenderaan perdagangan, pemandu perlu ubah sikap dan patuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










