KUANTAN 8 Feb. – Hotel Grand Darul Makmur di sini menawarkan hidangan istimewa terutama yee sang dengan pakej menarik dan berbaloi sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Jumaat ini.
Pengurus Besarnya, Wan Shahrin Wan Ahmad berkata, hidangan yang disediakan di Restoran Jade Terrace di aras bawah hotel tersebut mendapat pengiktirafan sijil halal dan boleh dinikmati oleh pelbagai kaum.
“Selain yee sang yang merupakan menu wajib, kami menawarkan tiga set hidangan untuk acara ‘makan besar’ yang boleh dinikmati seisi keluarga atau bersama teman serta sanak saudara.
“Paling utama kami merupakan satu-satunya hotel di bandar ini yang memiliki restoran makanan Cina halal. Selain harga berpatutan, jenis masakan cukup eksklusif,” katanya selepas Majlis Makan Tengah Hari Yee Sang Bersama Media, di sini semalam.
Sementara itu, Cef Restoran Jade Terrace, Steven Tan berkata, dia yang berpengalaman selama 38 tahun dalam bidang masakan menyajikan kelainan kepada pelanggan hotel berkenaan agar sambutan Tahun Baharu Cina menjadi memori indah untuk dikenang.
Katanya, tiga menu pilihan ditampilkan yang berharga RM998, RM1,288 dan RM2,288 untuk setiap 10 orang dengan menu eksklusif ketam lembut bersama roti serta sos istimewa bagi setiap pakej.
“Setiap pakej mempunyai sembilan menu dan pelanggan boleh membuat pilihan sama ada pakej Everlasting and Prosperity, Health and Wealthy ataupun Richness and Fortune,” katanya.
Menurutnya, pakej yee sang yang dihidangkan dengan hirisan pelbagai jenis sayur-sayuran, aneka sos, kekacang dan ikan salmon ditawarkan antara harga RM58 hingga RM188.
“Semua menu ini boleh didapati sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina sehingga 2 Mac ini,” katanya.









