KUALA LUMPUR 10 Feb. – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Syria Care memperkenalkan minyak wangi, ‘Humane’ bagi mengumpulkan dana membantu para pelarian Syria.
Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar berkata, setiap pembelian minyak wangi tersebut akan terus disumbangkan untuk tabung dana pelarian Syria.
Sesuai dengan maksud Humane itu sendiri, iaitu berperikemanusiaan, minyak wangi ini bukan sahaja sebagai satu kaedah terbaharu untuk orang ramai membantu para pelarian.
“Tetapi yang penting keharuman minyak wangi ini diformulasi khas untuk memberikan kesedaran dan semangat agar kita terus dapat melakukan kebaikkan dan kebajikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Minyak Wangi Humane di Majlis Minum Petang ‘The Magical Moment 2.0 – Spread The Love’ di Hotel Tabung Haji (TH), Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.
Majlis Minum Petang ini merupakan kali kedua diadakan bagi mengumpulkan dana dalam membantu mangsa konflik di dalam dan di luar Syria.
Turut diadakan siaran lintas langsung Syria Care bersama Pengetua Institut Al Fateh, di Istanbul Turki, Sheikh Mahmud Dahla, iaitu satu-satunya sekolah untuk kanak-kanak pelarian Syria yang ditaja oleh rakyat negara ini melalui Syria Care.
Beliau mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang begitu banyak membantu para pelarian Syria untuk meneruskan kehidupan.
‘Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala jasa dan usaha-usaha murni rakyat Malaysia melalui sumbangan dan sedekah yang boleh disifatkan sebagai satu jihad di jalan Allah,” katanya.
Sesi Tausiyah pula yang bertajuk: Sedekah Yang Luar Biasa disampaikan oleh penceramah terkenal, Pahrol Juoi. – UTUSAN ONLINE.










