SAYA ingin mengesyorkan kepada pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) agar memperluaskan perkhidmatan komuter ke utara sehingga ke Ipoh. Ketika ini perkhidmatan itu hanya sampai ke Tanjung Malim. Jika tidak boleh beroperasi setiap hari, sekurang-kurangnya pada setiap hujung minggu (Sabtu dan Ahad) dengan melibatkan dua perjalanan pagi dan dua perjalanan petang.
Saya percaya syor ini akan memudahkan lagi perjalanan penumpang dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan begitu juga dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Ini berdasarkan kepada kemampuan komuter yang boleh membawa penumpang sehingga 1,200 orang dalam satu-satu masa.
Berbanding Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), keupayaannya agak terhad kerana kereta api jenis itu hanya mampu membawa 360 penumpang. Saya yakin orang ramai akan memberi sokongan penuh kepada KTMB sekiranya syor itu dapat dilaksanakan.
Saya juga percaya jumlah penumpang komuter untuk ke Kuala Lumpur dari Ipoh tidak akan berkurangan malah akan sentiasa meningkat lebih-lebih lagi dengan keadaan Lebuh raya Utara Selatan yang begitu sesak pada setiap Sabtu dan Ahad.
PENGGUNA SETIA KOMUTER
Kuala Lumpur










