Skuad badminton wanita catat kemenangan kedua - Utusan Malaysia

Skuad badminton wanita catat kemenangan kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Pasukan wanita Malaysia meraih kemenangan mudah dengan menewaskan Filipina 5-0 dalam aksi Kumpulan Y Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Pemain perseorangan, Soniia Cheah tidak berdepan masalah menyumbangkan mata pertama Malaysia apabila mengalahkan Sarah Joy Barredo 21-7, 21-6, manakala Goh Jin Wei hanya mengambil masa 22 minit  menewaskan Airah Mae Nicole Albo 21-6, 21-7 untuk mata kedua negara.

Lim Yin Fun yang membuat penampilan pertama pada kejohanan berkenaan hari ini, tidak mengecewakan apabila memberi mata ketiga Malaysia setelah mencatat kemenangan 21-5, 21-8 ke atas Thea Marie Pomar.

Vivian Hoo, bergandingan dengan Tee Jing Yi bagi menggantikan Woon Khe Wei yang mengalami kecederaan lutut semalam, meraih mata keempat selepas mengatasi Airah Mae Nicole Albo-Alyssa Yasbel Leonardo 21-12, 21-8.

Pasangan beregu kedua, Chow Mei Kuan-Goh Yea Ching melengkapkan kemenangan cemerlang skuad negara apabila menumpaskan gandingan Sarah Joy Barredo-Thea Marie Pomar 21-13, 21-14.

Berikutan kemenangan itu, skuad wanita Malaysia sudah mengesahkan tempat ke suku akhir yang akan berlangsung Jumaat ini.

Malaysia akan menentang Thailand pada perlawanan terakhir Kumpulan Y esok, dan skuad negara dijangka berdepan cabaran getir dalam usaha menduduki tempat teratas kumpulan berkenaan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN