Sindiket lumpuh, dadah bernilai RM318,619 dirampas - Utusan Malaysia

Sindiket lumpuh, dadah bernilai RM318,619 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine dan syabu dipercayai didalangi dua lelaki tempatan menerusi serbuan di sebuah rumah sewa di Kampung Padang Midin, Marang dekat sini Khamis lalu.

Kejayaan tersebut yang merupakan rampasan terbesar bagi polis Terengganu tahun ini adalah hasil risikan dan tindakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang.  

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, sebanyak 17,200 biji dadah jenis methamphetamine bernilai RM258,000 dan syabu seberat 606.19 gram dengan nilai RM60,619 dirampas dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 petang itu.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM22,067 dan menyita tiga buah kereta serta dua buah motosikal.

“Kita percaya sindiket yang didalangi dua lelaki tempatan itu merupakan pengedar secara kecil-kecilan bagi keperluan penagih di empat daerah iaitu Marang, Kuala Terengganu, Dungun serta Kemaman.

“Suspek pertama merupakan seorang peniaga ikan berusia 23 tahun manakala seorang lagi suspek berusia 26 tahun bekerja sebagai buruh. Kedua-dua suspek tersebut kini ditahan reman selama lima hari sehingga Rabu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini. – K! ONLINE

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×