Siew Keong terima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Britain, bincang isu minyak sawit - Utusan Malaysia

Siew Keong terima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Britain, bincang isu minyak sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong hari ini menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell bagi membincangkan cadangan Parlimen Kesatuan  Eropah (EU) untuk menghalang penggunaan bahan api bio dan tenaga daripada sumber sawit menjelang 2021.

Siew Keong berkata, Malaysia membantah sepenuhnya resolusi bersifat diskriminasi tersebut yang akan menjejaskan 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia, memandangkan penggunaan minyak sayuran lain masih dibenarkan di bawah perundangan Arahan Tenaga Boleh Diperbaharu (RED) sehingga 2030.

“Treadell  berkongsi pendapat bahawa pengharaman penggunaan minyak sawit lebih awal berbanding minyak sayuran yang lain adalah tidak adil dan bertentangan dengan semangat amalan perdagangan bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, Siew Keong turut merakamkan penghargaan kepada anggota parlimen EU dari United Kingdom (UK) yang telah menentang resolusi pengharaman minyak sawit pada Januari lepas, terutamanya anggota parlimen yang mewakili Parti Konservatif UK.

Beliau berkata, di samping itu potensi kerjasama masa hadapan antara Malaysia dan UK terutamanya dalam meneroka pembangunan produk hiliran berasaskan sawit bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi baharu turut dibincangan dalam pertemuan tersebut.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menganjurkan rundingan meja bulat dengan para peneraju utama industri sawit tempatan, bakal pelabur serta pakar teknikal dari Malaysia dan UK,” katanya. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN