Ibarat sirih pulang ke gagang. Selepas kontraknya selama setahun bersama stesen radio Suria FM tamat pada tahun 2011, pelawak dan pengacara, Sharifah Shahira dipilih kembali menyertai stesen radio tersebut menerusi segmen Suria Pagi berkuat kuasa 5 Februari lalu.
Shahira atau lebih mesra dengan panggilan Shira digandingkan bersama Zulin Aziz dan Fizi Ali menerusi segmen yang ke udara pada setiap hari bermula pukul 5 hingga 10 pagi.
Pengurus Program Suria FM, Roslinda Abd. Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, pemilihan Shahira sebagai penyampai radio baharu di stesen itu merupakan pilihan terbaik berdasarkan kepada pengalamannya.
“Sejujurnya, kita mula mencari penyampai baharu untuk segmen tersebut sejak Disember tahun lalu dan terdapat beberapa nama yang disenarai pendekkan. Bagaimanapun, jodoh kita sangat kuat dengan Shira.
“Shira bukan nama baharu dalam industri malah dia juga pernah menjadi penyampai sebelum ini,” katanya ketika ditemui dalam sebuah majlis di Tropicana City Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Kata DJ Lin, pihaknya yakin dan percaya gabungan mereka bertiga dapat memeriahkan lagi segmen Suria Pagi berdasarkan karakter dan keunikan masing-masing.
“Dengan adanya khidmat penerbit yang berpengalaman, Suria Pagi dijangka dapat memberi saingan yang lebih sengit kepada radio berbahasa Melayu lain.
“Hal ini kerana buat kali pertama kita tampilkan kelainan apabila mengetengahkan dua penyampai wanita digandingkan bersama seorang penyampai lelaki,” jelasnya.
Masih aktif
Sementara itu, Shira turut memanjatkan kesyukuran kerana diberi kepercayaan menyertai keluarga besar Suria FM buat kali kedua selepas pernah menyertai stesen radio itu pada tahun 2010.
“Saya tidak menunggu lama untuk memberi persetujuan apabila menerima tawaran tersebut pada awal Januari lalu.
“Apabila diberikan kepercayaan sekali lagi oleh pihak Suria FM, saya fikir, kenapa tidak? Saya menerima tawaran tersebut dengan hati terbuka kerana tidak pernah berhenti bekerja dan masih aktif di dalam industri,” katanya sambil memberitahu dirinya sangat teruja dengan tugas baharu itu.
Katanya, gandingan bersama Zulin dan Fizi juga tidak mendatangkan masalah kepadanya kerana dia berpeluang untuk lebih mengenali penyanyi-penyanyi baharu.
“Apabila kita kembali kepada radio, sekali gus dapat juga kita kenal penyanyi-penyanyi baharu dan tidaklah ketinggalan.
“Saya juga berpeluang untuk berkongsi pengalaman dan pandangan dengan orang baharu selain cuba menerapkan elemen perbincangan serta nasihat,” katanya.
Ketika ditanya berkenaan pembahagian masa, Shira memberitahu, dia tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
“Bercakap mengenai pembahagian masa, saya tidak mempunyai masalah kerana mempunyai pembantu untuk menguruskan anak-anak dan saya juga sudah berbincang dengan suami sebelum menerima tawaran ini,” kongsinya lagi.
Sementara itu bagi Fizi dan Zulin pula, mereka tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Shira dan akan mencari titik keserasian demi menghidupkan segmen tersebut.










