MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi, banyak pihak mula meramalkan nama-nama calon yang bakal bertanding.
Ada yang cuba menaakul nama-nama muka baharu dan tidak kurang juga calon-calon ‘lama’ yang masih berpengaruh dijangka membuat kemunculan semula.
Antara nama yang disebut-sebut ialah Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. Ramai pemerhati politik berpendapat Ketua Wanita UMNO itu wajar diberikan peluang untuk bertanding dalam PRU-14.
Memang benar Shahrizat pernah tewas dan gagal mempertahankan Parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum tahun 2008, namun kekalahan itu bukan disebabkan beliau tidak melakukan sebarang kerja.
Teori kekalahan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu ialah situasi perang persepsi yang sangat tinggi pada ketika itu selain didorong beberapa faktor lain.
Hakikatnya Shahrizat merupakan seorang pemimpin yang konsisten turun ke padang mendengar nadi dan membela nasib rakyat khususnya golongan wanita. Rekod prestasi beliau sepanjang menjadi wakil rakyat sangat baik.
Shahrizat juga membuktikan beliau seorang pemimpin berjiwa besar apabila berani meletak jawatan sebagai menteri Kabinet selepas terpalit dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Shahrizat ‘mengalah’ dan memberi laluan kepada muka baharu apabila memilih tidak bertanding. Dengan PRU-14 semakin hampir, ramai pemerhati politik percaya Shahrizat wajar diketengahkan semula sebagai calon.
Sudah ada cakap-cakap mengatakan Shahrizat berkemungkinan bertanding di Parlimen Sungai Besar, tidak kurang juga menyatakan beliau ke Putrajaya.
Apa pun jangkaan yang dibuat, nama Shahrizat tidak sewajarnya ditolak ke tepi. Wujud kemungkinan beliau akan membuat kemunculan semula.










