LABUAN 10 Feb. – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan projek pembinaan Litar Permotoran Antarabangsa di wilayah ini.
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, peruntukan tersebut melibatkan projek pembinaan litar yang akan dimulakan dalam masa terdekat.
“Secara keseluruhan projek ini melibatkan peruntukan sebanyak RM7 juta, tetapi untuk fasa pertama diluluskan sebanyak RM3 juta sahaja melibatkan kerja-kerja pembinaan litar.
“Bakinya pula diharapkan dapat disalurkan pada tahun depan untuk pembinaan kemudahan lain termasuk ruang untuk penonton, podium dan ruangan rawatan,” katanya ketika berucap dalam majlis Perasmian Pecah Tanah di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail; Pengarah Eksekutif Pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mohd. Mustafa Mohd dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Merican. – UTUSAN ONLINE










