LABIS – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini merasmikan projek pembinaan semula Jalan Persekutuan Yong Peng-Segamat yang menjadi projek perintis penggunaan teknologi Asfalt Terubahsuaian Getah Bekuan (CMA) dalam pembinaan jalan raya di negara ini.
Penggunaan teknologi CMA merupakan campuran getah asli bersama tar dalam pembinaan jalan raya berkenaan melibatkan laluan sejauh 10 kilometer (km) bermula dari Kampung Desa Temu Jodoh hingga Kampung Kwong Sai, Segamat.
Keseluruhan projek tersebut melibatkan jajaran sejauh 40km dari Yong Peng, Batu Pahat hingga ke Segamat dimulakan pada 23 Oktober 2017 dan dijadual siap menjelang April 2020.
Berdasarkan pemerhatian awal kajian, penggunaan CMA secara keseluruhannya menunjukkan kesan positif dan dijangka dapat meningkatkan ketahanan permukaan jalan.
Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong. – K! ONLINE










