Potong rumput tidak boleh ketika aktiviti luar kelas - Utusan Malaysia

Potong rumput tidak boleh ketika aktiviti luar kelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 13 Feb.- Kerja-kerja pemotongan rumput tidak boleh dilaksanakan ketika para pelajar atau murid melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran luar kelas.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, perkara itu demi memastikan keselamatan para pelajar dan murid yang terdedah kepada sebarang ancaman akibat kejadian kerja tersebut.

Mengulas kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman, Gemas, beliau berkata, pihaknya dan polis sedang menyiasat punca kejadian tersebut berlaku.

“Kita belum menerima laporan lanjut mengenai punca kejadian ini. Siasatan dijalankan dalam mengenal pasti sama ada ia berpunca daripada kecuaian daripada pihak melakukan kerja pemotongan atau sebaliknya.

“Namun saya ingin menegaskan kerja pemotongan rumput tidak boleh dilakukan ketika aktiviti luar kelas,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kelas Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) di Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, di sini hari ini.

Seorang pelajar perempuan terbunuh, manakala dua rakannya cedera, akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput yang melayang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman, Gemas, Negeri Sembilan pagi ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×