KUCHING 11 Feb.- Peruntukan baharu diperlukan bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri menggunakan bas elektrik di sini menerusi projek perintis Skim Transformasi Bas Henti-Henti (SBST).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan tersebut perlu dipohon bagi pengoperasian bas elektrik disamping melibatkan perubahan spesifikasi saiz bas memandangkan terdapat laluan agak sempit.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri mengemukakan surat rasmi bagi dipanjangkan kepada Kerajaan Pusat.
“Perjanjian perkhidmatan pelaksanaan projek SBST ditandatangani November lalu perlu dipinda bagi membolehkan Kerajaan Pusat menyediakan kemudahan yang dapat menyokong penggunaan bas elektrik berkenaan.
“Sekiranya segalanya berjalan lancar, Sarawak bakal menjadi negeri pertama yang menggunakan myBas elektrik sepenuhnya dan dijangka beroperasi pada Januari tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa komitmen Kerajaan Pusat untuk memenuhi permintaan Sarawak dalam membina pelbagai projek pembangunan yang memastikan tiada jurang antara negeri lain. – UTUSAN ONLINE










