Perlis Marathon 2018 bakal lakar sejarah, tawar hadiah lumayan - Utusan Malaysia

Perlis Marathon 2018 bakal lakar sejarah, tawar hadiah lumayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 12 Feb. – Perlis Marathon 2018 yang memasuki tahun keempat penganjurannya bakal menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai RM250,000 selain pelbagai hadiah cabutan bertuah seperti kereta dan motosikal untuk direbut oleh para peserta.

Perlis Marathon 2018 bakal berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini pada 5 Mei depan dengan sasaran lebih 15,000 peserta dari dalam dan luar negara memeriahkan pertandingan kali ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, acara kali ini dijangka lebih meriah selepas kejayaan penganjuran sebelum ini.

Beliau berkata, Perlis Marathon yang diadakan sejak 2015 itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat pengiktirafan di tempat kedua terbaik daripada segi penganjurannya selepas Standard Chartered KL Marathon.

“Ia sesuatu pencapaian yang membanggakan meskipun kita antara negeri baharu menganjurkan pertandingan ini.

“Kita harap Perlis akan terus menempa kejayaan berdasarkan sambutan yang memberansangkan pada pertandingan sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan kerajaan negeri dan pelancaran Perlis Marathon 2018 di Dewan Warisan di sini hari ini.

Tambahnya, setakat ini, lebih 8,000 orang sudah mengesahkan penyertaan dalam pertandingan yang membabitkan empat kategori iaitu 42 kilome­ter (km), 21km, 10km dan lima km (fun run).

Katanya, beliau percaya jumlah tersebut akan terus bertambah menjelang hari pertandingan seterusnya mencapai sasaran 15,000 peserta.

“Penganjuran Marathon Perlis kali ini mendapat kerjasama dan tajaan Kumpulan Naza, agensi-agensi kerajaan, syarikat swasta dan persendirian,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×