PETALING JAYA 13 Feb. – Seorang lelaki yang menyerah diri di balai polis Damansara bersama mayat teman wanitanya, didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
M. Gunasegaran, 37, yang merupakan pengawal keselamatan, mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu melibatkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh seorang kerani, D. Tharani, 35, di tempat letak kenderaan, Pasar Raya Giant, Kota Damansara di sini kira-kira pukul 1.50 petang, 5 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Dalam prosiding tersebut, M. Manoharan hadir atas kapasiti sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa
Turut kelihatan di galeri awam, bapa mangsa, M. Devarajoo, 67, dan kakaknya, D. Gunavathi, 39.
Mahkamah menetapkan 13 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.
Pada 5 Februari lalu, balai polis Damansara gempar apabila seorang lelaki membawa bersama mayat teman wanitanya dalam sebuah kereta yang dipandunya dan menyerah diri kepada pihak polis.










