KUALA LUMPUR 7 Feb. – Tun Dr. Mahathir Mohamad diingatkan bahawa pengalaman 22 tahun beliau sebagai Perdana Menteri tidak semestinya relevan untuk digunakan dalam sistem pentadbiran hari ini.
Malah, Exco Pemuda UMNO, Shahril Hamdan turut mengimbau kembali ‘kegagalan-kegagalan’ sepanjang 22 tahun bekas Perdana Menteri itu ketika ditampuk kekuasaannya sehingga terpaksa diperbetulkan oleh kerajaan pada hari ini.
Antaranya, Shahril memberitahu, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digunakan secara berleluasa ketika pentadbiran Dr. Mahathir.
“Zaman beliau ada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang ketat sehingga mengekang mahasiswa bukan sahaja daripada berpolitik tetapi juga berpersatuan. Legasi yang ditinggalkan beliau tidak semuanya tanpa cacat cela.
“Pengangkutan awam yang tidak menyeluruh, jurang kekayaan dan pendapatan lebar, subsidi pukal yang regresif, pembangunan negara tidak seimbang dengan hanya tertumpu kepada ibu negara sahaja. Semuanya legasi yang terpaksa diperbetulkan kerajaan hari ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Dr. Mahathir bahawa beliau mempunyai banyak pengalaman dan sudah mempunyai idea serta perancangan tentang apa mahu dilakukan sekiranya Pakatan Harapan diketuai DAP berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP itu bagaimanapun tidak mendedahkan idea-idea serta perancangan beliau tersebut.
Dalam pada itu, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah menyifatkan jawapan Dr. Mahathir yang kononnya sudah mempunyai idea dan perancangan itu seperti ‘budak-budak’.
Beliau berkata, jawapan diberikan Dr. Mahathir itu ‘biasa’ sahaja dan bukan pada tahap seorang bekas Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Azwanddin secara sinis memberitahu, beliau boleh menjangkakan ‘idea serta perancangan’ Dr. Mahathir itu.
“Mungkin perancangan ini ialah untuk menyelamatkan anak-anak beliau atau terus mengekalkan kroni-kroninya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










