KOTA BHARU – Hajat seorang peniaga rempah ratus untuk menghantar bekalan kepada peniaga di sekitar daerah ini terbantut apabila dia cedera ditembak dalam satu kejadian cubaan samun di Jalan Sri Cemerlang di sini semalam.
Kejadian pada pukul 1.40 petang itu berlaku apabila mangsa berusia 45 tahun dari Ipoh, Perak itu didatangi dua penjenayah dengan menaiki sebuah motosikal selepas keluar dari kenderaan jenis Toyota Hilux untuk pergi makan tengah hari di satu kedai di situ.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata, suspek kemudian telah mengarahkan mangsa menyerahkan kunci kereta namun lelaki itu enggan berbuat demikian.
Berita berkaitan:
“Salah seorang suspek kemudian mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan. Peluru itu telah menembusi belakang badan mengakibatkan serpihannya terkena pada lengan kirinya.
“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal. Dalam menahan sakit, mangsa telah pergi ke kedai makan berkenaan untuk meminta bantuan sebelum dia dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.











