BANYAK pihak melihat Paya Besar dalam daerah Kuantan, Pahang sebagai kawasan ‘putih’ bagi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Di kawasan ini, BN menang 4-0 pada pilihan raya umum lalu.
Empat kerusi dalam kawasan berkenaan yang dimenangi BN ialah Parlimen Paya Besar menerusi Datuk Seri Abdul Manan Ismail, Dewan Undangan Negeri (DUN) Panching (diwakili Datuk Mohd. Zaili Besar), DUN Sungai Lembing (diwakili Datuk Sohaimi Mohamed Shah) dan DUN Lepar (Allahyarham Datuk Shohaimi Jusoh).
Namun, kepemimpinan UMNO Bahagian Paya Besar amat menyedari mereka tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan semasa, sebaliknya perlu melipatgandakan usaha mendekati rakyat.
Sememangnya sikap itu yang perlu ada dalam diri setiap pemimpin dan ahli parti tersebut kerana mengambil mudah cabaran pada PRU-14 dengan menggangap semua empat kerusi berkenaan adalah selamat boleh memakan diri.
Sikap berasa selesa, mengatakan tiada masalah atau boleh menang mudah di kawasan ini yang mempunyai kira-kira 83 peratus pengundi Melayu daripada keseluruhan 54,340 jumlah pengundi berdaftar sehingga September lalu, perlu dibuang jauh-jauh.
Itulah juga penekanan diberikan Abdul Manan yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar dengan memastikan jentera parti di semua peringkat bekerja keras mengekalkan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.
“Menggunakan pengalaman dan berdasarkan apa yang berlaku pada pilihan raya umum lepas, kita mengenal pasti di mana kelemahan yang wujud serta memperbaikinya. Kekuatan yang ada pula kita perkukuhkan.
“Jentera kita juga melakukan kerja-kerja parti secara berterusan selepas pilihan raya umum lalu. Isu- isu yang timbul kita berusaha menangani dan menyelesaikannya,” katanya ketika ditemui semalam.
Tatkala kerja-kerja parti dan program turun padang mendekati serta membantu rakyat dilaksanakan secara berterusan, kata Abdul Manan, salah satu perkara penting untuk berdepan PRU-14 adalah perpaduan dalam Jawatankuasa UMNO Bahagian Paya Besar itu sendiri.
Perpaduan dan kesepakatan yang wujud dalam jawatan kuasa berkenaan membolehkan gerak kerja dilakukan dengan lancar serta selari.
“Alhamdulillah, kami semua ‘ngam’. Pemimpin dalam bahagian tiada perbalahan. Kesepakatan penting, kalau tiada itu, hancur.
“Kita tidak kisah siapapun, selagi dia ‘perform’ kita ambil dan letakkan dalam jawatan kuasa bahagian termasuk orang muda kerana kita mahu melahirkan ramai pemimpin pelapis berkaliber,” ujarnya.
Tambah beliau, jentera BN di Paya Besar turut bekerja dengan serius untuk menambah majoriti undi di DUN Panching yang merekodkan majoriti terendah (1,036 undi) antara empat kerusi yang dikuasai BN dalam kawasan tersebut.
Dengan mengamalkan sikap tidak leka, menjauhi berasa selesa dan berterusan menjalankan kerja-kerja parti serta mendekati rakyat, bukan sesuatu yang sukar bagi BN mengekalkan warnanya di kawasan itu pada pilihan raya umum akan datang. – UTUSAN ONLINE









