KUALA LUMPUR 10 Feb. – Polis merampas pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM50,000 yang dijual di sebuah pasar raya terkemuka dalam serbuan malam tadi.
Serbuan pada pukul 9.30 malam itu turut menahan tiga lelaki yang terdiri daripada pengurus besar, penyelia dan juru jual pasar raya antarabangsa tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mereka yang berumur antara 25 hingga 50 tahun itu ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bagi membantu siasatan.
“Mercun tidak boleh dijual kerana dikira sebagai bahan letupan. Ada mercun yang dibenarkan tetapi kalau yang besar-besar itu tidak dibenarkan kecuali mereka mempunyai lesen.
“Mereka yang menjual adalah satu kesalahan dan tindakan diambil di bawah Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat Ke-12 sempena Tahun Baharu Cina yang bermula 9 Februari hingga 23 Februari di Plaza Tol Jalan Duta, di sini hari ini.
Pada majlis sama, Mazlan turut melancarkan penggunaan 52 motosikal Kawasaki Z250 dan KLX250 yang dijangka dapat membantu dalam pencegahan jenayah jalanan seperti ragut serta memantau di kawasan perumahan terutamanya pada musim perayaan.










