ALOR SETAR 7 Feb. – Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek masih belum membuat keputusan sama ada ingin menurunkan Iskandar Zulkarnain Zainuddin atau Soong Joo Ven selaku perseorangan ketiga untuk perlawanan terakhir peringkat Kumpulan C menentang Taiwan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia esok.
Malaysia seharusnya menghadapi Taiwan dengan penuh bersemangat selepas menang mudah 5-0 ke atas Myanmar hari ini dengan dua daripada mata pasukan negara disumbangkan oleh Iskandar dan Joo Ven.
Misbun berkata, dia akan mengadakan perbincangan semula malam ini untuk menilai prestasi setiap pemain bagi membolehkannya membuat keputusan siapa yang akan beraksi esok.
Katanya, kedua-dua pemain berkenaan masih muda dan pengalaman yang dimiliki akan menjadi penentu kepada keputusan perlawanan itu.
“Saya sudah melihat Joo Ven, Iskandar dan Lee Zii Jia bermain tetapi saya akan berbincang semula dengan barisan jurulatih untuk mencari jalan keluar terbaik untuk pasukan negara kerana semalam kita sudah kalah kepada Thailand.
“Kita akan tengok keadaan Iskandar dan Joo Ven, kalau esok saya rasa Joo Ven akan main…dia akan main, kalau tidak dia tidak akan bermain.
“Saya juga akan melihat cara terbaik untuk kita mencuri mata daripada Taiwan dan memang kita perlu menang untuk layak (ke suku akhir) dan kita sedang berusaha ke arah itu,” katanya selepas tamat permainan.
Misbun hari ini menyaksikan Iskandar tidak perlu banyak berpeluh apabila menang 21-10, 21-10 ke atas Chan Win Oo manakala Joo Ven menundukkan Aung Myo Htoo 21-9, 21-7.
Zii Jia, yang menggantikan Chong Wei selaku perseorangan pertama hari ini, mudah menyumbang mata pertama negara selepas mengetepikan Phone Pyae Naing 21-3, 21-10 manakala gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menang 21-5, 21-5 ke atas Arkar Phone Myat-Toe Hein Si Thu.
Beregu kedua, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melengkapkan kemenangan 5-0 negara selepas menewaskan Aung Myo Htoo-Chan Win Oo 21-12, 21-9.











