KUALA LUMPUR 7 Feb. – Selepas kejayaan dua buah album kolaborasi bersama penyanyi Filipina, Nikki Bacolod, Min Yasmin bakal tampil dengan album solo Filipina pertamanya berjudul Min Yasmin – Pangarap.
Menurut Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, sambutan di luar jangkaan terhadap lagu-lagu dalam album duetnya membuatkan dia semakin yakin untuk tampil dengan album solo pula.
“Lagu-lagu terdahulu begitu disukai ramai sehingga ia mampu bertahan lebih daripada empat bulan di dalam beberapa carta radio di sana.
“Kejayaan tersebut mendorong saya untuk menghasilkan album baharu dan kali ini saya ingin tampil secara solo pula.
“Kalau sebelum ini saya hanya menyanyikan lagu bahasa Tagalog, untuk album baharu saya ingin memikat hati lebih ramai rakyat Filipina dengan memasukkan lagu bahasa Tausug dan bahasa Sama.
“Mempelajari dua bahasa tersebut merupakan usaha terbesar saya dalam mencipta nama di Filipina,” ujarnya kepada Utusan Online.
Album Min Yasmin – Pangarap mengandungi 14 buah lagu yang melibatkan lima bahasa iaitu Tagalog, Tausug, Sama, Inggeris dan Melayu. Album ini mendapat sentuhan komposer terkenal, Julfekar serta tiga orang komposer Filipina iaitu Raz Tawasil Itum (Tagalog), Nelson Dino (Tausug) dan Andhee Basion (Sama).
Sementara itu, Min meluahkan rasa teruja apabila bercerita tentang majlis pelancaran albumnya yang akan diadakan di Kelab Polo Manila, Filipina pada 22 Februari ini.
“Sekarang ini saya sedang giat membuat persiapan untuk majlis pelancaran dan dalam masa yang sama sibuk memenuhi beberapa tawaran persembahan.
“Saya sangat teruja dengan majlis pelancaran akan datang kerana bukan mudah untuk seorang penyanyi luar menembusi pasaran di sana.
“Setahu saya, tidak ramai artis luar yang betul-betul berpeluang tembus industri muzik di sana kerana artis mereka sendiri sangat berkualiti dan berbakat,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE.










