ALOR SETAR – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan satu siasatan terperinci dilakukan berhubung kejadian seorang pelajar perempuan maut akibat terkena bilah traktor mesin rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abd. Rahman di Gemas, Negeri Sembilan hari ini.
Beliau berkata, laporan siasatan itu perlu disiapkan dengan segera iaitu dalam tempoh sehari hingga dua hari.
“Saya sudah minta supaya satu siasatan penuh dilakukan bagi mengetahui punca dan bagaimana keadaan ini boleh berlaku ketika berlangsung raptai hari sukan sekolah tersebut.
“Biarlah siasatan ini dilakukan antara pihak sekolah dan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian pelajar tingkatan dua, Nur Afini Roslan yang maut akibat terkena bilah traktor mesin rumput di padang SMK Tuanku Abd. Rahman kira-kira pukul 10 pagi ini.
Mahdzir berkata, pihak sekolah terutama dalam kalangan guru besar dan pengetua sepatutnya mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak membenarkan kontraktor mengendalikan mesin ketika pelajar berada di kawasan padang. – K! ONLINE










