ALOR SETAR 8 Feb. – Kejayaan muncul juara Kumpulan C membolehkan Malaysia mengelak daripada bertemu pasukan gergasi pada suku akhir esok, sebaliknya akan ditentang Hong Kong dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di sini.
Selepas kalah 2-3 kepada Thailand dalam aksi pembukaan kelmarin, Malaysia menunjukkan kebangkitan apabila membelasah Taiwan 5-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan sebentar tadi, iaitu kemenangan kedua berturut-turut setelah membelasah Myanmar juga menerusi keputusan serupa semalam.
Thailand yang muncul naib juara kumpulan akan menentang Korea Selatan, China bertemu India dan Indonesia berdepan Jepun.
Dalam kejohanan yang turut menjadi pentas kelayakan Piala Thomas/Uber itu, Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia terus mencatat rekod sempurna dengan memenangi kesemua perlawanan setakat ini untuk membawa pasukan negara ke suku akhir, manakala beregu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mula mempamerkan aksi meyakinkan.
Chong Wei meletakkan Malaysia di depan selepas dipaksa berhempas pulas ketika menumpaskan Wang Tzu Wei 17-21, 21-13, 21-15, sebelum V Shem-Wee Kiong mengukuhkan kedudukan 2-0 dengan menang 21-14, 19-21, 21-16 ke atas Lee Jhe Huei-Lee Yang.
Zii Jia mengesahkan kemenangan Malaysia hanya dalam masa 46 minit menerusi kemenangan straight set 21-16, 21-13 ke atas Hsu Jen Hao.
Beregu Ong Yew Sin-Tew Ee Yi memberi mata keempat mengalahkan Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-14, 20-22, 21-14 dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin melengkapkan kemenangan 5-0 dengan menumpaskan Lin Yu Hsien 21-19, 21-15.
“Saya memang gembira dan teruja kerana bermain sangat baik dalam perlawanan ini.
“Sukar hendak menggambarkan perasaan, terutama beraksi di depan penyokong sendiri dan meletakkan pasukan dalam keadaan selesa,” kata Zii Jia selepas tamat perlawanan.
Dalam saingan wanita, kegagalan mengalahkan Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan Y bagaikan memberi ‘rahmat’ kepada Malaysia apabila tidak perlu berdepan China pada suku akhir esok.
Biarpun diundi menentang Korea Selatan juga bukan laluan mudah, namun ia sekurang-kurangnya lebih baik berbanding menentang juara Piala Uber, China yang kini akan bertemu Thailand.
Malaysia menutup kempen selaku naib juara apabila tumpas 2-3 selepas ketiga-tiga perseorangannya gagal menyumbangkan mata. – UTUSAN ONLINE











