JOHOR BAHRU 8 Feb. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mengambil tindakan terhadap ahli dan bekas ahlinya yang membuat aduan terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung isu pelanggaran Perlembagaan parti itu.
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada peguam atau Majlis Tertinggu parti supaya tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap mereka.
“Kalau mereka yang bangkitkan perkara ini bukan ahli, kita akan rujuk kepada peguam untuk tindakan. Kita tidak mahu ada yang mahu melakukannya kerana berniat jahat dan melakukan fitnah.
“Sekiranya mereka ahli, kita akan serahkan kepada Lembaga Disiplin PPBM untuk tindakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Pakatan Harapan Johor di Pejabat PPBM Johor, Taman Kempas Utama di sini sebentar tadi.
Beliau mengulas lebih 400 laporan telah dikemukakan oleh ahli-ahli parti itu terhadap ROS sebelum ini supaya tindakan diambil terhadap PPBM kerana didakwa melanggar Perlembagaan parti. – UTUSAN ONLINE










