PUTRAJAYA – Polis masih menunggu laporan forensik mengenai rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sekolah di Nibong Tebal, Pulau Pinang bagi mengenal pasti individu yang mencuri telefon bimbit seorang guru.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada imej individu di dalam CCTV itu ialah pelajar tingkatan dua yang meninggal dunia selepas cuba membunuh diri tempoh hari, berikutan kualiti visual tersebut.
“Setakat ini saya tidak boleh mengesahkan, visual itu sangat sukar untuk disahkan.
“Kami memerlukan kepakaran forensik untuk meningkatkan kualiti gambar atau visual dan sehingga itu, kita perlu menunggu,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Seminar Permuafakatan Pembangunan Nilai dan Sahsiah Murid di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik sumber polis sebagai mengesahkan rakaman CCTV sekolah yang diperoleh menunjukkan pelajar perempuan berusia 14 tahun yang cuba membunuh diri itu mengambil telefon bimbit milik gurunya. – Bernama










